Thursday, December 30, 2010

TAHNIAH, MALAYSIA BERJAYA

Akhirnya berjaya juga Pasukan Bolasepak Malaysia memenangi AFF Piala Suzuki, yang dahulunya Piala Tiger.  Setelah bertahun-tahun mengambil bahagian dan mencuba, pasukan dibawah asuhan dan didikan jurulatih, K Rajagopal berjaya memenangi perlawanan berprestij ini buat kali pertamanya.

Di dalam perlawanan akhir bahagian kedua di Stadium Bung Karno, Indonesia semalam Malaysia kalah kepada Indonesia 1 - 2.  Walaubagaimanapun Malaysia menang dengan agregate 4 - 2.

TAHNIAH !!!  Tahniah untuk jurulatih Rajagopal, tahniah kepada Mohd Safee Sali sebagai peenjaring terbanyak dan tahniah untuk seluruh skuad Malaysia.  Kita semua harus bangga dengan kejayaan ini.

Friday, December 24, 2010

GENERASI LEBIH BAIK

Keputusan PMR yang baru keluar nampaknya memberangsangkan.  Jumlah yang mendapat keputusan terbaik meningkat.  Harap-harap ini petanda baik.

Cuma terfikir juga, dengan keputusan akademik yang baik, bolehkah mereka ini menjadi insan-insan yang baik.  Seharusnya sistem pendidikan dan pembelanjaran adalah bertujuan membina insan yang lebih baik.

Pokok pangkalnya adalah isi pendidikan dan pembelajaran itu.  Sama seperti perisian komputer juga.  Jika haprak yang diisikan, haprak juga hasilnya.  Ada murid pintar dengan keputusan cemerlang tidak pintar menjawap soalan-soalan mengenai negara sendiri.

Saya perhatikan isi pendidikan dan pembelajaran sesetengah negara maju amat lengkap untuk membentuk keperibadian yang baik anak bangsa.  Penekanan adalah menyeluruh baik dari segi pelajaran sosial, jasmani dan rohani.  Mereka didedahkan kepada kebenaran dan hakikat serta apa yang relevan dalam hidup.

Pemimpin kita mesti peka tentang perkara ini.  Jika pendekatan dan penekanan betul dan baik tentu akan menghasilkan generasi akan datang yang jauh lebih baik.

Thursday, December 9, 2010

SEHATI BERDANSA

Sepasang demi sepasang suami isteri yang mengambil bahagian di dalam program 'Sehati Bendansa' untuk semua musim seperti terkena badi.  Perkahwinan mereka tidak mampu bertahan dan mereka bercerai.

Sekalipun tidak terperanjat dengan perceraian juara musim ketiga, iaitu Sein dan Nana, tetapi rasa simpati juga kerana anak-anak yang  masih kecil ikut menjadi mangsa.  Memanglah semuanya ketentuan Illahi.  Cuma kita patut ambil ikhtibar dari semua ini.

Jelas sekali program itu dan program 'Mari Berdansa' sekarang berlawanan dengan hukum syarak.  Walaupun pasangan mempunyai ikatan perkahwinan, persaudaraan atau kekeluargaan yang menghalalkan perhubungan mereka, seluruh program itu bercanggah dengan hukum Islam.

Sedih rasanya kerana Malaysia lantang mengaku negara Islam.  Anehnya kita tidak guna-pakai semua undang-undang dan hukum Islam.  Dalam hal seperti ini, Jabatan Agama Islam sekalipun tidak mempunyai bidang kuasa undang-undang untuk mengambil tindakan.  Aneh juga ulama-ulama sendiri tidak membuat kenyataan terbuka dan jelas mengenai program ini.

Taukey Astro memang bukan Islam.  Tapi itu bukan bererti rancangan mereka boleh sewenang-wenangnya bercanggah dengan hukum Islam.  Orang-orang yang mengambil bahagian serta semua yang terlibat, samaada sebagai peserta, pengacara, pengadil dan saudara-mara yang menyokong yang berbangsa Melayu dan mengaku Islam semuanya mencemar Islam.

Kita selalu melihat golongan tertentu yang asyik lantang bersuara ke atas golongan lain yang mencemar dan mencabar kesucian Islam dan kedaulatan serta ketuanan Melayu.  Mereka berada di mana?

Wednesday, December 8, 2010

TAHUN BARU HIJRIAH

SALAM MAAL HIJRAH
SEMOGA TAHUN 1432H LEBIH BAIK

Monday, December 6, 2010

CERITA "GILA BABI"

Kecuh pula dengan komen spontan Lisa Surihani semasa program Mari Menari di Astro.  Semasa program itu berlangsung, apabila dia komen dengan ungkapan "gila babi" memang sudah tahu perkara sedemikian tentu akan menjadi berita panas.

Ada pula saranan mengatakan Lisa sepatutnya bersikap lebih sopan.  Ini adalah kerana artis menjadi ikon kepada peminat dan masyarakat.

Sudah macam lawak pulak bunyinya.  Kenapa pula harus marah pada artis.  Dunia mereka memang penuh dengan kontroversi.  Banyak yang tidak keruan.

Seorang Islam yang menjadikan artis sebagai ikon awal-awal lagi jelas tersasar.  Oleh kerana cetek pengetahuan agama dan kurang didikan ramai yang menjadi liar gara-gara mengikut artis pujaan dan alam glamor.  Anak-anak dan remaja terkinja-kinja di kelab-kelab malam dan tempat seumpamanya.  Begitu juga pakaian mereka yang ikutan terdedah sana-sini dan ada yang cumpang-camping atau pun glamor habis.

Betul juga kata Lisa tu.  Kalau sudah terkinja-kinja sakan, seolah-olahnya gila babi!  Anehnya babi pun tak gila begitu!