Monday, July 26, 2010

APA CERITA LAIN?

Semalam Yassin, bekas anggota Senario diberitakan dicekup lagi, dan ujian air kencingnya dikatakan ada ganja.  Macam-macam reaksi orang di atas berita ini.

Saya cuma terfikir kenapa asyik-asyik Yassin diserbu dan ditangkap dengan alasan yang sama?  Kemudian terdapat bukti lain yang membuatkan dia dibebaskan lagi.

Entahlah ya?  Saya pernah banyak kali terjumpa Yassin.  Tidak nampak bukti dia seorang ketagihan dadah.  Tetapi badannya memang kurus keding.

Ada orang memberitahu bahawa Yassin memang gemar menghisap rokok keretek Indonesia.  Ramai orang tahu orang keretek ada elemen seperti herba tradisi tertentu.  Jadi mungkin saja seperti kaskas yang ada bahan seperti ganja.

Bukan apa, elok juga kita berprasangka baik.  Sekurang-kurangnya kita boleh membantu mengatasi masaalah dan bukannya mengadakan masaalah.

Wednesday, July 21, 2010

MELAYU ISLAM KE?

Malam tadi saya sekeluarga pergi makan di salah sebuah tempat makan yang popular.  Kami makan nasi kari kepala ikan dan sayuran serta juga ayam goreng.

Bukan makanan yang saya nak cerita.  Tapi saya nak cerita apa yang membuat saya rasa kurang senang saja.

Ada ramai orang yang datang makan.  Tentulah pelbagai ragam dan macam juga.  Cuma saya benar-benar rasa kesal dengan sekeluarga ini.

Mereka berempat, dua lelaki dan dua wanita, dan mereka memesan masakan Cina.  Semuanya memakai seluar pendek, baik yang lelaki mahupun yang perempuan.  Bezanya dua yang perempuan itu memakai seluar pendek yang amat pendek singkat hingga hampir ke kangkang paha.  Baju juga agak pendek.

Jelaslah mereka itu orang Melayu.  Baik dari segi rupa mahu pun percakapan, mereka memang ternyata orang Melayu.

Tetapi saya tertanya-tanya di mana Islamnya jika pakaian mereka hingga begitu.  Tidakkah ibu bapa mereka mengajar tentang Islam?

Monday, July 19, 2010

TAK JADI PUASA

Ingat hati memang nak puasa hari ni.  Yalah, memandangkan Ramadan pun dekat, eloklah membiasakan diri berpuasa.

Tapi nampaknya tidak terlaksana juga.  Jadual hari ini amat ketat pula.  Terpaksa nak kena pergi sana sini kerana ada urusan peribadi yang penting.

Sementelah tak jadi puasa, ingat nak makan durian la.  Teringin pula nak makan pulut durian tu.  Elok jugalah dilakukan sebelum datang bulan puasa kerana nanti kalau dah Ramadan, pergi Terawih berbau durian pula!

Friday, July 16, 2010

TIDAK MENGAKU BUAT SALAH

Saya kesian dengan isteri artis Badrul Muhayat tu.  Lembut hati isteri untuk memaafkan suami, dan akhirnya dia dibebaskan.  Keluar saja dah dia buat hal lagi.  Kini kata isteri dia tidak dapat memaafkan si suami yang tak bertanggung-jawap dan kejam itu lagi.

Mengikut berita yang tersiar si isteri barkata, "... saya kesal kerana tak sampai berapa jam selepas mahkamah membebaskannya sejurus dia membayar kompaun, Badrul sekali lagi buat hal."

Memang orang yang membuat salah hampir tidak ada yang mengaku membuat kesalahan tersebut. Kalau dah Badrul Muhayat itu tidak akan berubah biar saja dia dibicarakan dan dihukum dengan hukuman yang setimpal.

Tuesday, July 6, 2010

BETUL KE?

Jika benar berita ini, ia adalah saluran yang lebih mudah untuk orang ramai menyalurkan aduan mengenai pelbagai salah laku staf MBPJ.  Bukan apa, kadang-kadang memang bengang juga dengan pegawai Majlis Bandaraya Petaling Jya (MBPJ) yang berlagak dan sesetengahnya pulak selektif dalam kerja dan penguatkuasaan mereka.

Saya pernah melihat sendiri pegawai MBPJ tidak menyaman beberapa kereta-kereta tertentu yang jelas melakukan kesalahan semasa mereka sedang menyaman kereta-kereta lain.  Ada juga insiden saya melihat pegawai penguatkuasa MBPJ duduk makan rojak dan cendul; selepas habis mereka bangun dan beredar pergi saja.  Tokey rojak itu berkata memang hari-hari macam-macam tu.  Malah polis pun bertindak demikian katanya.  Tetapi dia tidak berdaya kerana mereka mengancam akan mengambil tindakan kerana berjualan di simpang jalan yang tidak dibenarkan.

Mengikut berita yang disiarkan, mereka memetik kata-kata dari Timbalan Datuk Bandar MBPJ.  Katanya sekarang orang ramai boleh membuat sebarang aduan berhubung salah laku pegawai MBPJ ketika memberikan perkhidmatan kepada mereka.  MBPJ memperkenalkan Polisi Aduan Salah Laku sebagai satu cara mengkaji pelbagai aduan diterima berhubung penyelewengan dan salah laku di kalangan kakitangannya.

Sistem ini adalah bertujuan menggalakkan pengadu menyalurkan aduan melalui sistem aduan dalaman secara sistematik sebelum dibawa ke pihak luar di samping memberi perlindungan sewajarnya kepada pengadu sekiranya aduan dibuat.

Berita ini memetik kata-kata Timbalan Datuk Bandar MBPJ seperti berikut, "Segala penyalahgunaan kuasa, rasuah, penyebaran maklumat rahsia sehinggalah ke gangguan seksual boleh dilaporkan menerusi sistem aduan ini."

Semoga perkara ini bukan hanya satu gimik dan publisiti murahan.