Saturday, September 25, 2010

PERGI SIASAT

Tak tahu nak taruh tajuk apa lagi.  Bukan apa, pagi ni saya terpaksa pergi ke pasar besar TTDI awal untuk membeli beberapa makanan kerana ada tamu nak datang beraya sekitar pukul 3 petang nanti.  Kat pasar ini macam-macam ada, cuma harganya ada sikit mahal la.

Sebelum balik ke rumah saya ajak suami pusing kawasan projek LDP yang dinyatakan oleh blogger DDrfauziah dalam N3nya tu.  Baru perasan rupanya kawasan berkenaan tu dah hampir cerah.  Nampak lapang dan luas sekali.

Sebahagian tu dah nampak diratakan dan ada banyak batu simen.  Sebahagian lagi mereka masih membuang akar pohon pokok yang besar.

Saya tak jelas sangat jalan pintas yang dimaksudkan tu.  Yang ada jalan besar, Jalan Damansara tu.  Kemudian terus jalan dalam perumahan.  Ada dua jalan susur keluar, satu dekat jalan besar berhampiran Damansara Specialist Centre dan satu lagi kecil saja berhampiran rumah-rumah.

Mungkin yang dimaksudkan tu ialah jalan itu digunakan sebagai shortcut iaitu dengan menggunakan jalan susur keluar berhampiran rumah-rumah tu.

Kalau saya jadi penduduk dekat simpang tu pun saya mahu jalan keluar itu ditutup.  Ia begitu terdedah untuk sesiapa masuk keluar, dan senang jadi sasaran kecurian.

Sunday, September 19, 2010

BANYAK CERITA MENGATA

Bila baca N3 rakan blogger saya terperasan banyak kita ni memang ada banyak cerita.  Tetapi kebanyakan cerita tu kita tidak tahu pun cerita sepenuhnya.

Memang betul kan?  Jadi jadilah cerita kita itu penuh dengan pelbagai andaian dan spekulasi.

Dengan kata-kata lain banyak cerita yang kita bicarakan adalah cerita yang sudah ditokok tambah.  Maknanya banyak cerita kita ini sudah tergolong dalam kategori 'mengata' sebab kita bercerita perkara-perkara yang kita tidak tahu 100 % faktanya.

Mengata tu ertinya mengumpat.  Mengumpat itu berdosa.  Takut la pula!  Aduhhhhhhhhhh!

Friday, September 10, 2010

SELAMAT HARI RAYA

Seronok pula beraya di kampung bersama sanak saudara dan kawan rakan lama.  Kebetulan memang ramai yang balik beraya pada kali ini.  Riuh rendah dibuatnya.

Apapun, saya ingin merakamkan ucapan Hari Raya kepada semua bloggers.  Maaf zahir dan batin.

*شلآمت هاري راي عيدالفطري*
*SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI*

Tuesday, September 7, 2010

BESOK BALIK KAMPUNG JUGA

Mula ingat nak beraya di sini dulu.  Lepas tu dengar ramai pulak dah balik ke kampung.  Jadi dah la bertukar fikiran nak balik beraya di kampung pula.

Sebenarnya kita orang tua ni mengikut mood anak-anak.  Bila dah ramai yang ingin nak berkumpul raya dengan keluarga di kampung, kita nak kata apa.  Ikut sajalah.

Insya Allah, pagi besok kita orang sekeluarga akan berkonvoi dengan sepupu sekeluarga balik ke kampung juga.  Harap-harap tak jam sebab dengarnya ramai juga yang sudah pun balik dulu.

Sunday, September 5, 2010

ADAT PASANG LAMPU

Mulai malam ni nanti ramai orang kita akan memasang pelita.  Malam karang ini akan masuk hari ke 27 kita berpuasa.  Biasanya orang Melayu akan memasang pelita minyak tanah dan meletakkannya di sepanjang jalan dekat dengan rumah mereka.

Suasana ini nampak lebih meriah di kampung.  Anak-anak akan bermain-main, sementara ibu kakak memasak kueh raya dan si bapa dan abang pula akan berborak sambil membuat persediaan untuk membakar lemang.

Di bandar sekarang orang pasang lampu letrik ala-pelita di halaman.  Ada yang pasang lampu kedap-kedip dan warna-warni.

Tetapi saya lihat di sekitar kawasan perumahan yang masyarakatnya terdiri dari pelbagai kaum, suasana memasang lampu tidak ketara sangat.  Mungkin kerana mereka memang setiap malam sudah sedia memasang lampu.